Peraturan Mengundi Penonton di Rumah

  1. Cara Mengambil Bahagian. Ciri interaktif Masa Nyata Netflix seperti Undian Masa Nyata (“Ciri Interaktif Masa Nyata”) tersedia dengan keahlian Netflix anda bagi kandungan Netflix tertentu. Untuk menyertai Ciri Interaktif Masa Nyata, log masuk ke akaun Netflix anda dan ikut arahan bagi kandungan khusus yang menyertakan Ciri Interaktif Masa Nyata. Peraturan, terma serta tarikh mula dan tamat khusus untuk menyertai Ciri Interaktif Masa Nyata akan disenaraikan pada skrin dan/atau tersedia di Pusat Bantuan Netflix. Mana-mana penyertaan adalah tertakluk pada syarat Ciri Interaktif Masa Nyata yang dinyatakan dalam bahagian 3 di bawah.

  2. Tempoh Penyertaan. Tempoh atau masa penyertaan akan dinyatakan di netflix.com/votingrules. Masa atau tempoh penyertaan mungkin tertakluk pada perubahan. Jika terdapat kegagalan teknikal semasa tempoh penyertaan atau sebarang peristiwa lain yang menghalang hasil penyertaan atau entri daripada ditentukan, Netflix boleh menutup dan membuka semula tempoh penyertaan. Sebarang entri atau penyertaan di luar tempoh penyertaan yang ditetapkan tidak akan diambil kira.

  3. Syarat Ciri Interaktif Masa Nyata. Satu (1) penyertaan atau undian dihadkan bagi setiap profil untuk setiap Ciri Interaktif Masa Nyata Netflix. Netflix berhak untuk mengubah peraturan penyertaan atau had bilangan undian untuk Ciri Interaktif Masa Nyata. Sebarang percubaan oleh peserta untuk mendapatkan bilangan undian yang lebih banyak daripada yang dinyatakan menggunakan berbilang atau berbeza akaun, profil, pendaftaran dan log masuk Netflix, atau sebarang kaedah lain akan membatalkan undian peserta tersebut. Penyertaan Ciri Interaktif Masa Nyata mungkin tertakluk pada pengesahan dan perakuan oleh juruaudit pihak ketiga bebas. Bot atau penyertaan secara automatik, terprogram, robotik atau cara yang serupa tidak dibenarkan. Peserta yang tidak mematuhi terma ini atau cuba mengganggu proses atau operasi Ciri Interaktif Masa Nyata dalam apa-apa jua cara akan dibatalkan kelayakan dan penyertaan atau undian mereka tidak akan diambil kira.

    Semua keputusan tentang proses Ciri Interaktif Masa Nyata adalah mengikut budi bicara mutlak Netflix dan tidak boleh dicabar atau dikemukakan rayuan. Sekiranya keputusan atau hasil entri tidak dapat ditentukan secara munasabah kerana kegagalan teknikal atau atas sebarang sebab lain di luar kawalan munasabah Netflix atau rakan kongsinya, Netflix akan menentukan keputusan dan keputusan adalah muktamad dan tidak tertakluk pada rayuan. Bukti penyerahan tidak akan dianggap sebagai bukti penerimaan entri oleh Netflix. Netflix berhak, mengikut budi bicara mutlaknya untuk membatalkan, menamatkan, mengubah suai atau menggantung Ciri Interaktif Masa Nyata sekiranya terdapat virus, pepijat, campur tangan manusia yang tidak dibenarkan, epidemik, pandemik, penipuan atau sebab lain di luar kawalannya yang merosakkan atau menjejaskan pentadbiran, keselamatan, keadilan atau pengendalian proses Ciri Interaktif Masa Nyata yang sewajarnya.

  4. Pembebasan. Netflix dan subsidiarinya, sekutu, rakan kongsi, wakil, ejen, pengganti, penerima serah hak, pekerja, pegawai dan pengarahnya (secara kolektif, "Entiti yang Dibebaskan") tidak bertanggungjawab atas kerosakan teknikal, perkakasan, perisian, telefon atau komunikasi lain, ralat atau kegagalan dalam apa-apa jua bentuk, sambungan rangkaian yang terputus atau tidak tersedia, ketersediaan Internet atau ISP, campur tangan manusia yang tidak dibenarkan, kesesakan trafik, perekodan entri atau maklumat penyertaan yang tidak lengkap atau tidak tepat (tanpa mengira punca) atau transmisi dalam talian yang gagal, tidak lengkap, terputus-putus, bercampur aduk atau tergendala yang mungkin mengehadkan keupayaan seseorang untuk mengambil bahagian, termasuk sebarang kecederaan atau kerosakan pada platform, komputer atau peranti mudah alih peserta atau mana-mana orang lain yang berkaitan dengan atau akibat daripada penyertaan dalam Ciri Interaktif Masa Nyata atau memuat turun sebarang bahan yang berkaitan dengan Ciri Interaktif Masa Nyata. Entiti yang Dibebaskan tidak bertanggungjawab atas undian yang hilang, lewat, tidak boleh dibaca, tidak lengkap, tidak sah, tidak dapat difahami, rosak dari segi teknikal atau diubah hala, yang akan dibatalkan kelayakan undian tersebut.

  5. Pertanyaan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Ciri Interaktif Masa Nyata, atau jika anda mempunyai pertanyaan, sila lawati Pusat Bantuan Netflix, yang boleh diakses melalui laman web netflix.com.