Cara Sistem Cadangan Netflix Berfungsi

Perniagaan kami merupakan model perkhidmatan langganan yang menawarkan cadangan diperibadikan untuk membantu anda mencari rancangan dan filem yang menarik bagi anda. Untuk berbuat demikian, kami telah mencipta sistem cadangan yang proprietari dan kompleks. Artikel ini menyediakan perihalan tahap tinggi tentang sistem cadangan kami dengan bahasa yang mudah.

Asasnya

Apabila anda mengakses perkhidmatan Netflix, sistem cadangan kami berusaha untuk membantu anda mencari rancangan atau filem untuk dinikmati dengan usaha yang sedikit. Kami menganggarkan kemungkinan anda akan menonton tajuk tertentu dalam katalog kami berdasarkan beberapa faktor, termasuklah:

  • interaksi anda dengan perkhidmatan kami (seperti sejarah tontonan anda dan cara anda menilai tajuk lain),

  • ahli lain dengan cita rasa dan pilihan yang serupa pada perkhidmatan kami dan

  • maklumat tentang tajuk, seperti genre, kategori, pelakon, tahun keluaran, dll.

Selain mengetahui rancangan yang anda tonton di Netflix untuk memperibadikan cadangan sebaik mungkin, kami juga mengambil kira maklumat seperti:

  • waktu anda menonton dalam sehari,

  • peranti yang anda gunakan untuk menonton Netflix dan

  • tempoh masa anda menonton.

Semua data ini digunakan sebagai input yang kami proses dalam algoritma kami. (Algoritma ialah proses atau set peraturan yang dipatuhi dalam operasi penyelesaian masalah.) Sistem cadangan tidak termasuk maklumat demografi (seperti umur atau jantina) sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan.

Jika anda tidak melihat sesuatu untuk ditonton, anda boleh mencari dalam seluruh katalog yang tersedia di negara anda. Kami cuba menjadikan carian semudah dan sepantas yang mungkin. Apabila anda memasukkan pertanyaan carian, hasil teratas yang kami sediakan adalah berdasarkan tindakan ahli lain yang telah memasukkan pertanyaan yang sama atau serupa.

Berikut ialah perihalan cara sistem ini berfungsi dari masa ke masa dan cara maklumat ini mempengaruhi perkara yang kami sediakan kepada anda.

“Memulakan” sistem cadangan

Apabila anda mencipta akaun Netflix anda atau menambahkan profil baharu dalam akaun anda, kami meminta anda untuk memilih beberapa tajuk yang anda suka. Kami menggunakan tajuk ini untuk “memulakan” cadangan anda. Pemilihan beberapa tajuk yang anda suka adalah pilihan. Jika anda memilih untuk mengabaikan langkah ini, maka kami akan memulakan pengalaman anda dengan set tajuk yang pelbagai dan popular untuk anda bermula.

Sebaik sahaja anda mula menonton tajuk pada perkhidmatan ini, tajuk tersebut akan “menggantikan” sebarang pilihan awal yang anda berikan kepada kami dan apabila anda terus menonton dari masa ke masa, tajuk yang anda tonton baru-baru ini akan mengatasi tajuk yang anda tonton dahulu dalam mendorong sistem cadangan kami.

Baris, kedudukan dan gambaran tajuk

Selain memilih tajuk untuk disertakan dalam baris pada halaman utama Netflix anda, sistem kami juga menempatkan setiap tajuk dalam baris, kemudian menempatkan baris itu sendiri menggunakan algoritma dan sistem kompleks untuk memberikan pengalaman yang diperibadikan. Dengan erti kata lain, apabila anda melihat halaman utama Netflix anda, sistem kami telah menempatkan tajuk dengan cara yang direka untuk menggambarkan susunan tajuk yang mungkin anda nikmati sebaik mungkin.

Dalam setiap baris terdapat tiga lapisan pemperibadian:

  • pilihan baris (misalnya, Teruskan Menonton, Sohor Kini, Komedi Memenangi Anugerah, dll.)

  • tajuk yang dipaparkan dalam baris dan

  • kedudukan tajuk tersebut.

Baris yang paling dicadangkan akan dipaparkan di bahagian atas. Tajuk yang paling dicadangkan bermula dari sebelah kiri setiap baris dan ke kanan -- melainkan anda memilih bahasa Arab atau Ibrani sebagai bahasa anda dalam sistem kami, dalam keadaan ini tajuk anda akan bermula dari sebelah kanan ke kiri.

Cara kami meningkatkan sistem cadangan kami

Kami menerima maklum balas daripada setiap lawatan ke perkhidmatan Netflix dan kami melatih semula algoritma kami secara berterusan dengan isyarat tersebut untuk menambah baik ketepatan ramalan algoritma tentang rancangan yang paling mungkin anda tonton. Data, algoritma dan sistem pengiraan kami terus melengkapi antara satu sama lain untuk menghasilkan cadangan baharu bagi menyediakan produk yang membawa keseronokan kepada anda.

Lihat Halaman bantuan Privasi dan Keselamatan untuk maklumat tentang lebih banyak topik.

Artikel Berkaitan