Kebolehaksesan di Netflix
Di Netflix, kami ingin semua orang menikmati cerita yang hebat, tidak kira bahasa, peranti, sambungan Internet atau keupayaan mereka. Oleh sebab itu, kami menawarkan pelbagai ciri kebolehaksesan berpandukan standard kebolehaksesan antarabangsa dan rangka kerja undang-undang yang berkaitan.
Kami menawarkan beberapa ciri kebolehaksesan, termasuk sokongan untuk teknologi bantu seperti pembaca skrin dan sistem pendengaran, penggunaan ciri terbina dalam pada peranti seperti Apple dan Android serta alat kami sendiri, termasuk keupayaan untuk menyesuaikan sari kata dan kapsyen tertutup pada TV dan melaraskan kelajuan main balik pada peranti mudah alih.
Selain memantau dan menambah baik ciri kebolehaksesan kami secara berkala, kami juga meminta maklum balas daripada ahli dan kumpulan sokongan kebolehaksesan dan kurang upaya. Tatal ke bahagian bawah halaman ini untuk berkongsi maklum balas anda.
Ciri kebolehaksesan berikut tersedia untuk golongan dengan masalah pendengaran, penglihatan atau pergerakan fizikal.
Sistem bantu dengar
Anda boleh menggunakan pelbagai jenis set kepala, alat, fon kepala atau gelung leher bantu dengar untuk mendengar rancangan TV atau filem.
Perihalan audio
Netflix mempunyai pelbagai rancangan TV dan filem tersedia dengan perihalan audio, yang memberikan lebih banyak perincian tentang perkara yang berlaku pada skrin, termasuklah air muka, tindakan fizikal dan perubahan dalam adegan.
Kawalan kecerahan
Anda boleh meningkatkan atau mengurangkan kecerahan rancangan TV atau filem jika anda menonton pada peranti mudah alih.
Kawalan saiz fon
Anda boleh meningkatkan saiz fon dalam apl Netflix dengan mengemas kini tetapan saiz fon pada peranti mudah alih iOS atau Android anda.
Pintasan papan kekunci
Jika anda menonton Netflix pada komputer, anda boleh menggunakan senarai pintasan papan kekunci ini untuk mengawal tetapan seperti main/jeda, mandir, mundar laju serta saiz skrin dan kelantangan.
Kawalan kelajuan main balik
Anda boleh meningkatkan atau mengurangkan kelajuan main balik rancangan TV atau filem jika anda menonton pada peranti mudah alih.
Pembaca skrin
Anda boleh menavigasi Netflix dengan beberapa pembaca skrin lazim yang membaca teks dengan lantang.
Sari kata & kapsyen tertutup
Anda boleh menukar fon, saiz, bayang dan warna latar belakang sari kata (dialog menjadi teks boleh dibaca pada skrin anda) dan kapsyen tertutup (dialog, serta perihalan bunyi yang anda dengar dalam rancangan TV atau filem).
Perintah suara
Anda boleh mencari dan memainkan rancangan TV dan filem di Netflix menggunakan perintah suara dengan alat kawalan jauh yang didayakan suara atau pembantu yang diaktifkan dengan suara.
Kami sentiasa mengalu-alukan maklum balas tentang kebolehaksesan. Sila hubungi kami melalui sokongan pelanggan suara atau sembang, gunakan alat Laporkan Masalah kami atau isikan borang Maklum Balas Kebolehaksesan kami yang khusus. Lawati cara berkongsi maklum balas berkaitan kebolehaksesan untuk mengetahui lebih lanjut.